Program Gerbang Kerjaya Mahasiswa (GEMA)

Sunday, November 13, 2011


Program Gerbang Kerjaya Mahasiswa (GEMA) bakal diadakan pada;
Tarikh : 19 November 2011 (Sabtu)
Tempat : Auditorium Siswa, Pusanika.
Masa : 11 pagi - 5 petang

* Penceramah yang dijemput khas dibawakan dari SHELL.
* Yuran yang dikenakan hanyalah RM 3 dan disediakan sijil & makanan.
* Penyertaan terbuka kepada semua. 
* Pelajar tahun akhir amat digalakkan menyertainya. 
* Sebarang pertanyaan dan pendaftaran hubungi Syamimi : 013-2848223

BERSAMA MAHASISWA MEREALISASI VARSITI

(epelajar/bul/bil.09112011-07)

Kajian Dari Jerman Bukti Kelebihan Penyembelihan Islam

Thursday, November 10, 2011

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Maaidah ayat ke 3 hingga 5

Diharamkan bagimu (memakan) bangkai, darah, daging babi, (daging haiwan) yang disembelih atas nama selain Allah, yang tercekik, yang dipukul, yang jatuh, yang ditanduk, dan diterkam binatang buas, kecuali yang sempat kamu menyembelihnya, dan (diharamkan bagimu) yang disembelih untuk berhala. Dan (diharamkan juga) menilik nasib dengan anak panah, (menilik nasib dengan anak panah itu) adalah kefasikan. Pada hari ini orang-orang kafir telah putus asa untuk (mengalahkan) agamamu, sebab itu janganlah kamu takut kepada mereka dan takutlah kepada-Ku. Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-redhai Islam itu jadi agama bagimu. Maka barang siapa terpaksa kerana kelaparan tanpa sengaja berbuat dosa, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Islam mengajar supaya sembelihan dilakukan dengan pisau tajam bagi memotong bahagian leher untuk memutuskan dua urat utama atau urat mareh. Kaedah ini telah dikaji oleh pakar Jerman.

Pakar itu, Profesor Wilhelm Schulze dan rakannya, Dr Hazim di Institut Perubatan Veterinar, Universiti Hannover, Jerman, mencari kaedah terbaik proses mematikan haiwan bagi mendapatkan daging yang bersih dan segar.

Kajian itu bertajuk, ‘Kajian mengesan kesakitan mengikut kaedah konvensional dan agama ketika menyembelih lembu dan kambing’. Beliau menyimpulkan kaedah Islam adalah yang terbaik kerana lebih berperikemanusiaan.

Mereka menyimpulkan bahawa amalan mengenakan kejutan elektrik ke atas haiwan sebelum dibunuh seperti yang diamalkan oleh Barat, mendatangkan kesakitan yang amat sangat terhadap haiwan.

Dalam kajian itu, beberapa alat pengesan dipasang di pelbagai tempat pada otak haiwan. Alat itu dimasukkan menerusi pembedahan khas.

Beberapa ekor haiwan itu disembelih mengikut kaedah Islam melalui potongan urat leher dengan pisau tajam. Beberapa ekor haiwan lain dibunuh mengikut kaedah barat menggunakan Pistol Kejutan (CBP).

Ketika ujian dijalankan, rekod electroencephalograph (EEG) danelectrocardiogram (ECG) dicatatkan bagi mengetahui keadaan otak dan jantung semua haiwan terbabit ketika proses penyembelihan dan kaedah CBP.


Hasil ujian sembelihan menurut cara Islam

Hasil ujian mendapati menurut kaedah Islam, tiga saat pertama ketika disembelih, EEG tidak mencatatkan sebarang perubahan pada graf sama seperti sebelum penyembelihan.

Keadaan itu membayangkan bahawa haiwan itu tidak berasa sebarang kesakitan ketika atau selepas pisau memotong urat leher terbabit.

Untuk tiga saat kedua, EEG mencatatkan keadaan tidur lena atau tidak sedar diri. Ini disebabkan banyak darah mengalir keluar dari badan.

Selepas enam saat, EEG mencatatkan paras sifar, menunjukkan haiwan itu tidak merasai sebarang kesakitan.

Ketika mesej otak (EEG) jatuh ke paras sifar, jantung masih mengepam dan badan haiwan masih dapat bergerak akibat tindak balas daripada saraf tunjang, menyebabkan semua darah keluar dari badan haiwan menghasilkan daging yang selamat untuk dimakan, menurut penyelidikan itu.

Hasil ujian tembakan CBP cara barat

Bagaimanapun, ketika mengkaji kaedah CBP, haiwan dikesan terus pengsan sebaik saja menerima tembakan CBP dan EEG menunjukkan bacaan amat tinggi pada haiwan itu.

Jantung haiwan itu berhenti berdenyut lebih awal selepas terkena kejutan berbanding haiwan yang disembelih. Keadaan itu menyebabkan banyak darah masih terkumpul dalam daging dan ia sebenarnya tidak selamat untuk dimakan.

Lembu yang tidak disembelih punca penularan wabak lembu gila

Kajian terbaru juga menunjukkan kaedah mematikan haiwan yang digunakan oleh Barat dan bukan Islam, turut dikatakan menjadi punca kepada penularan wabak penyakit lembu gila daripada haiwan kepada manusia.

Kaitan ini didedahkan menerusi kajian yang dijalankan oleh Universiti Texas dan Agensi Pemeriksaan Makanan Kanada. Ia menyatakan, kaedah kejutan pneumatik (iaitu menembak bola besi ke otak lembu diikuti dengan mengenakan tekanan udara tinggi) menyebabkan kerosakan tisu otak serta saraf tunjang haiwan itu.

Laporan ini amat menggemparkan kerana tisu otak dan saraf tunjang adalah bahagian yang paling terjejas teruk kerana dijangkiti penyakit lembu gila dan apabila ia hancur akibat kaedah berkenaan, bakteria serta protein penyakit lembu gila akan merebak ke daging.

Malah, lebih menggemparkan, kaedah ini digunakan ke atas 30 hingga 40 peratus lembu yang dimatikan untuk diambil dagingnya di Amerika Syarikat.

Malah, kajian lain yang dijalankan di seluruh dunia juga mendapati daging menjadi lebih lembut berbanding daging yang tidak disembelih menurut Islam seperti ujian yang dijalankan ke atas ayam sembelih dan tidak sembelih.

Cara Islam adalah yang terbaik

Kajian terbabit jelas membuktikan bahawa penyembelihan menurut kaedah Islam adalah cara yang terbaik bukan saja untuk kebaikan haiwan itu sendiri tetapi juga memberi manfaat kesihatan kepada manusia.

Selain itu, Islam mengenakan beberapa langkah lain bagi memastikan penyembelihan ini dapat disempurnakan dengan lebih baik.

Dalam aspek ini, Nabi Muhammad SAW pernah mengarahkan supaya sentiasa belas kasihan terhadap haiwan dengan memastikan pisau yang digunakan benar-benar tajam bagi mengurangkan rasa sakit.

Islam menjelaskan, proses menyembelih perlu dilakukan dengan pantas bagi memutuskan salur darah ke saraf otak kerana saraf ini yang menghantar mesej kesakitan kepada otak.

Dengan itu, haiwan tidak akan berasa sakit ketika disembelih. Pergerakan dan kekejangan yang berlaku selepas haiwan itu disembelih, bukan akibat kesakitan tetapi akibat denyutan diikuti keadaan tenang.

Proses itu menyebabkan darah dikeluarkan dari badan sepenuhnya,kata Dr Aisha El-Awady, yang menulis dalam Islamonline pada 2003.

Selain itu, Sunnah Nabi Muhammad SAW juga menegaskan, adalah tidak wajar seseorang penyembelih, menajamkan pisaunya di depan haiwan yang akan disembelih atau menyembelih seekor haiwan itu di depan haiwan lain.

Saraf tunjang tidak terjejas semasa penyembelihan dan kebaikannya

Menjelaskan lagi proses penyembelihan Islam, Dr Aisha menyatakan, kaedah Islam juga memastikan saluran udara, kerongkong dan dua urat leher dipotong tanpa menjejaskan saraf tunjang.

“Kaedah ini membolehkan darah keluar membuak-buak dari badan haiwan dan menghasilkan daging yang bersih.

“Jika saraf tunjang terputus, fiber saraf ke jantung akan rosak menyebabkan jantung terhenti dan darah akan terkumpul di dalam daging. Darah perlu dikeluarkan sepenuhnya sebelum kepala dicerahkan. Keadaan ini akan membersihkan daging itu kerana darah bertindak sebagai perantara kepada mikro organisma,” kata Aisha dalam kajiannya.

Dengan bukti ini, seharusnya aktivis hak asasi Barat berkempen supaya menggunakan kaedah Islam ketika proses penyembelihan serta mensasarkan kecaman mereka terhadap kaedah selain daripada Islam yang terbukti kejam dan tidak berperikemanusiaan.

[ Sumber ]

PENGUMUMAN : Program 'Gaza Menangis' 14 Nov. 2011

Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM) melalui Biro Kerohanian & Pembangunan Insan bakal mengadakan program 'Gaza Menangis' dengan kerjasama Pusat Islam UKM dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM).


Program tersebut bakal berlangsung pada;
Tarikh : 14 November 2011 (Isnin)
Masa : 7.30 - 9.00 malam
Tempat : Masjid UKM, Bangi

Antara tentatif program

1. Slot Ceramah yang bakal disampaikan;
a) Haji Abdul Aziz b. Abu Bakar, Penyelaras MAPIM Selangor
b) Cik Tahrir al-Ghamdy, mahasiswi The Islamic University of Gaza
c) Cik Nora Mousa, graduan al-Aqsa University

2. Tayangan khas multimedia Gaza

3. Kutipan sumbangan derma Gaza


Semua warga UKM dan penduduk sekitar dijemput hadir.


BERSAMA MAHASISWA MEREALISASI VARSITI

PTPTN : Dana wakaf untuk para mahasiswa

Wednesday, November 9, 2011


Agak ironik di tengah-tengah keceriaan kita menyambut perayaan Aildiladha, Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Ismail Mohamed Said mengumumkan cadangan untuk tidak memberi pinjaman perbelanjaan kepada pelajar institusi pengajian tinggi awam mulai 2013. (Berita Harian, 4 November 2011)

Menurut Datuk Ismail, mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah PTPTN pada 31 Oktober lalu membuat cadangan supaya pinjaman perbelanjaan dihentikan pada tahun 2013 untuk mengurangkan bebanan perbadanan itu yang kini semakin kekurangan dana menampung permohonan pelajar-pelajar baru.

Ibu Bapa Gusar
Kenyataan Pengerusi tersebut tentunya menimbulkan kebimbangan pelajar dan ibu bapa, khususnya di kalangan keluarga berpendapatan rendah apabila saban tahun hampir ratusan ribu pelajar IPT memohon tabung pinjaman tersebut.

Umum mengetahui sebahagian besar mahasiswa amat bergantung dengan tabung pinjaman tersebut itu bagi menampung kehidupan mereka di kampus.

Biarpun yuran pengajian Universiti telah dibayar, adakah rasional untuk mahasiswa berbelanja membeli keperluan pengajian dan kos kehidupan seharian di kampus sekiranya pinjaman perbelanjaan itu dihentikan?

Justeru respon kenyataan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sehari selepas itu bahawa kerajaan akan memastikan PTPTN terus memberi pinjaman berkenaan, pastinya melegakan banyak pihak terutama ibu bapa. (Utusan Malaysia , 6 November 2011)

GMUKM Usul Cadangan Carian Dana PTPTN
Di peringkat Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) dalam merespon isu ini, lebih gemar melihat masalah yang dialami pihak Perbadanan dapat dikurangkan dengan beberapa usul di bawah;

(i) PTPTN perlu ditransformasikan sebagai salah sebuah syarikat milik kerajaan (GLC) yang berorientasikan budaya penswastaan dan pengkorporatan. Maksudnya di sini Perbadanan lebih diurustadbir sebagai syarikat swasta yang bijak mencari dana sendiri di samping tidak melupakan 'Corporate Social Responsibility' (tanggungjawab sosial korporat) yang turut menyumbang kepada pinjaman-boleh-ubah kepada biasiswa kepada mahasiswa yang cemerlang. Dan jika perlu, Pengerusi Perbadanan juga perlu dilantik daripada kalangan ahli perniagaan yang berjaya sebagaimana yang dilaksana Malaysia Airlines (MAS) dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) agar idea-idea Perbadanan lebih berkembang dan tidak mengharapkan bantuan GLC lain.

(ii) PTPTN membuat pelaburan-pelaburan yang strategik khususnya dalam bidang komersil yang berkembang pesat yang lain di dalam atau luar negara. Perkara ini dapat dicontohi melalui GLC yang lain seperti Petronas, Telekom, Lembaga Urusan Tabung Haji dan lain-lain.

(iii) PTPTN perlu memperkasa (empowerment) Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN). Ironinya walaupun SSPN dilancar awal tahun 2008 yang lalu, tetapi hanya baru-baru ini promosi berkenaan skim ini diperhebatkan. Sedikit sebanyak PTPTN dilihat tidak serius apabila gagal mempromosi dan menggunapakai produk tersebut.

(iv) PTPTN juga dilihat perlu belajar daripada badan berkanun lain seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menguruskan keluar-masuk dana dengan cekap.

(v) Cadangan PTPTN untuk mengadakan kerjasama dengan beberapa syarikat multinasional dan transnasional untuk mengadakan tabung berbentuk wakaf, pembiayaan dan sumbangan dilihat tepat pada masanya. Bagaimanapun sewajarnya idea ini diadakan sejak dulu lagi serta harus direalisasikan dan bukan sekadar di atas kertas semata-mata. Idea tersebut juga dicadangkan bukan hanya tertumpu kepada syarikat milik negara Malaysia juga, tetapi juga dikembangkan kepada syarikat-syarikat luar yang melabur di dalam negara juga. Untuk rekod, sesetengah negara Islam hari ini sudah banyak menyediakan dana wakaf untuk para mahasiswa memasuki universiti secara percuma kerana walaupun bukan warganegara tersebut. Sebagai contoh, Syria dan Maghribi.

Rumusan
GMUKM berpandangan jelas bahawa dengan kos hidup hari ini amat tinggi. Justeru sekiranya isu peminjam liat membayar balik hutang PTPTN menjadi puncanya, kita berpendirian PTPTN perlu mewujudkan satu mekanisme baru dalam menyelesaikan isu ini. Jangankan kerana marahkan nyamuk, habis kelambu dibakar.


Gabungan Mahasiswa UKM

PMUKM: Tahniah Kepada Datuk Dr Mazlan Othman

Persatuan Mahasiswa UKM mengucapkan tahniah kepada Datuk Dr Mazlan Othman di atas perlantikan beliau mengetuai Pejabat PBB bagi Hal Ehwal Angkasa Lepas (UNOOSA).

Beliau merupakan bekas professor di Jabatan Fizik (kini dikenali sebagai Pusat Pengajian Fizik Gunaan - PPFG), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dari tahun 1988-1995.

Ikuti artikel berikut berkenaan kejayaan perlantikan beliau ke jawatan Pengarah United Nations Office for Outer Space Affairs (UNOOSA) di Vienna, Austria.

- - - - - - - - - - - - - - -


Datuk Dr Mazlan Othman, bekas ketua pengarah Agensi Angkasa Negara (Angkasa), kini bertugas di Vienna, Austria, di mana beliau mengetuai Pejabat PBB bagi Hal Ehwal Angkasa Lepas (UNOOSA).

Sebagai pengarah UNOOSA, beliau menerajui program angkasa lepas badan dunia itu dan nampaknya menyerlah dalam tanggungjawabnya kerana pengetahuan beliau yang mendalam mengenai astrofizik.

Dr Mazlan, yang seringkali mengunjungi ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di New York atas urusan rasmi kerana tanggungjawab pentingnya itu, membuka peluang kepada beliau untuk menemui ahli-ahli astrofizik terkemuka dunia.

"Ya, terdapat tanggungjawab besar dalam kerja seperti yang saya lakukan. Bagaimanapun, ia juga satu bidang yang menguja dan mencabar selain penuh dengan peluang-peluang," katanya.

Mereka di Barat mungkin mendapati adalah jarang untuk melihat seorang wanita Asia menerajui sebuah pertubuhan angkasa lepas yang lazimnya dianggap sebagai domain kaum lelaki.

Bagaimanapun, selepas sekali sahaja melihat kelayakan dan pencapaian wanita yang kecil molek ini sudah pasti mana-mana orang yang meraguinya akan berasa yakin yang wanita ini hebat dalam bidangnya.

Menerajui Cabaran Angkasa Lepas
Dr Mazlan, yang pertama kali dilantik ke jawatan dalam UNOOSA pada 1999, kembali ke Malaysia pada 2002 untuk mengetuai Angkasa di mana beliau memainkan peranan penting dalam melancarkan Angkasawan Malaysia yang pertama ke ruang angkasa lepas, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor pada 2007.

Beliau kembali ke jawatannya sebagai pengarah UNOOSA pada akhir 2007 dan sejak itu beliau mengendalikan isu-isu seperti kerjasama antarabangsa di ruang angkasa, penggunaan platform-platform jarak jauh di angkasa bagi pembangunan lestari, menyelaraskan undang-undang angkasa lepas antara negara-negara dan menangani risiko yang disebabkan oleh asteroid yang melepasi bumi pada jarak yang dekat.

Dr Mazlan, yang orangnya walaupun lemah lembut, menerapkan nilai-nilai kepimpinan yang perlu dalam segala apa yang dilakukannya, menurut mereka yang berpeluang memerhatikannya dari dekat.

Tugas Yang Bukan Mudah
Apa pula perasaan beliau dalam berkhidmat bersama-sama dengan PBB memandangkan cabaran dan desakan sukar yang pasti dihadapi oleh sesiapa sahaja memegang jawatan tinggi itu.

"Cabaran di PBB adalah ia satu forum multilateral, yang menangani isu global. Oleh itu, kata sepakat perlu dicapai di kalangan pelbagai pihak berkepentingan bersama latar belakang serta dengan harapan yang berlainan.

"Perlu ada keseimbangan antara pelbagai parameter seperti geografi, yang membangun dan maju, dan jantina," katanya.

Apabila ditanya akan pendapatnya terhadap kehidupan - bukan sekadar tumbuh-tumbuhan tetapi juga hidupan seperti makhluk asing, Mazlan menjawab dengan berhati-hati: "Daripada sudut saintifik, kami tahu terdapat berbilion galaksi yang mengandungi bintang-bintang yang jumlahnya dalam trilion, dengan banyak daripadanya yang mempunyai planet.

"Oleh itu, walaupun kemungkinan untuk menemui kehidupan adalah sangat kecil, memandangkan bilangan besar bintang-bintang ini, kemungkinan itu pastinya bukan sifar. Apa yang kita perlu akui adalah ‘kehidupan boleh datang dalam apa sahaja bentuk dan bukan sahaja dalam bentuk yang kita lihat di bumi."

Ditanya sama ada beliau pernah didatangi oleh saintis atau pakar lain yang mahu membincangkan dengan serius bersamanya akan kewujudan kehidupan di angkasa lepas, beliau menjawab: "Ya, sudah pasti. Terdapat pakar-pakar yang mengkaji astrobiologi... dalam lain kata, kehidupan di luar angkasa lepas, dan terdapat juga pakar-pakar yang mengkaji planet-planet, di luar sistem suria. Kesemua usaha ini merujuk kepada isu ini."

Angkasa Lepas, Tidak Diambil Serius
Bercakap mengenai cabaran spesifik serta peluang di jawatan semasanya, beliau mendedahkan bahawa ruang angkasa lepas masih tidak diambil kira dalam pelbagai aspek rundingan diplomatik dan perbahasan.

"Tugas saya ialah untuk membawa ke perhatian anggota PBB dan agensi-agensi badan dunia itu akan peranan penting yang dimainkan oleh angkasa lepas dalam membawa manfaat dan akibat yang mungkin timbul, jika kita tidak memberi perhatian kepada isu-isu berkaitan dengan angkasa lepas," katanya.

Bagaimanapun, masih terdapat peluang. Oleh kerana angkasa lepas adalah sebahagian daripada perbincangan di PBB, perhatian yang diberikan boleh dipertingkatkan lagi dengan memperjelaskan idea bahawa angkasa lepas adalah milik umat manusia.

"Dan penerokaan angkasa lepas menjadi satu agenda penting PBB dan, oleh itu, kerjasama antarabangsa adalah penting," katanya.

Dr Mazlan yang berkahwin dengan Professor Ibrahim Komoo, Pengarah Institut Kajian Bencana Asia Tenggara (SEADPRI-UKM) mempunyai dua orang anak - anak lelakinya, seorang jurutera aeroangkasa, kini meneruskan pengajian dalam MBA di Amerika Syarikat sementara anak perempuannya yang berusia 16 tahun berada bersamanya di Vienna. - BERNAMA

Perutusan Aidiladha 1432 H / 2011 PMUKM

Saturday, November 5, 2011


Assalamu'alaikum wbt dan salam sejahtera.

Bersempena sambutan Hari Raya Aidiladha 1432 Hijrah 2011 Masehi pada Ahad ini, kami di Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM) ingin mengambil kesempatan mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidiladha buat rakan-rakan mahasiswa dan semua muslimin dan muslimat di seluruh negara.

"Hari eid al-Fitr, hari qurban, dan hari-hari Tasyrik merupakan hari raya kita orang-orang Islam, ia merupakan hari makan dan minum" - [Hadith riwayat Ahmad, Abu Daud, Tirmudzi, al-Nasaa'i dan al-Hakim, sebagaimana didalam Shahih al-Jaami' al-Shaghir #8192].

Insyallah Umat Islam bakal menyambut ketibaan hari raya korban pada esok hari (Ahad). Semoga Aidiladha kali ini membawa keberkatan kepada kita semua sambil mengenang kembali hikmah di sebalik sejarah peristiwa korban yang bermula sejak zaman Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail suatu ketika dahulu.

Kita juga diingatkan setiap kali tibanya Aidil Adha maka kita didedahkan dengan kisah mujahadah tinggi yang pernah dilakukan oleh nabi Ibrahim as. Al-Quran menceritakan bagaimana kekuatan aqidah nabi Ibrahim a.s yang lahir dalam keluarga penyembah berhala di mana dakwah baginda terpaksa berdepan dengan ayahnya sendiri Azar pembuat berhala seterusnya hidup pula dalam suasana masyarakat sekeliling yang syirik kepada Allah.

Sesungguhnya pengertian Aidiladha sangat tinggi maknanya bagi umat Islam di seluruh dunia dan sama-samalah kita merenung kembali sejauh manakah kita sanggup berkorban demi Islam dan Allah Rabbul Jalil.

"Tiada amal anak Adam yang lebih disukai Allah pada hari Aidiladha melainkan ibadat korban. Sesungguhnya binatang yang dikorbankan itu akan datang pada hari kiamat lengkap dengan tanduk, bulu dan kukunya. Sesungguhnya ibadat korban ini diredhai Allah sebelum darah binatang itu jatuh ke bumi. Maka hendaklah kamu berasa lapang dada dan reda akan ibadat korban yang kamu lakukan.” (Hadis riwayat At-Tirmizi)

Juga buat pesanan buat semua, diharapkan agar kalian berhati-hati di jalanraya dan memandu secara berhemah ketika pulang berhari raya di kampung halaman masing-masing bersama keluarga tersayang.

Akhirnya buat kalian rakan-rakan mahasiswa, diharapkan terus bersama menyokong dan mendokong kami di PMUKM.


BERSAMA MAHASISWA MEREALISASI VARSITI

KEROHANIAN : Puasa hari Arafah ( 09 Zulhijah )

Friday, November 4, 2011


Puasa 9 Zulhijah dan hari Arafah
Oleh Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi

Terjemahan :

Bulan Zulhijjah merupakan salah satu dari 4 bulan-bulan haram, dan ia dikenali sebagai bulan haji, dimana hari2nya adalah 10 yang awal, yang merupakan seafdhal-afdhal2 hari didalam setahun, sebagaimana diperkatakan oleh beberapa hadith. Dari Ibn Abbas ra., Rasullulah saw bersabda :
'Tidak terdapat pada hari-hari melakukan amalan soleh yang disukai Allah swt dari hari ini, yakni hari-hari 10', maka mereka berkata : 'Bukankan jihad dijalan Allah?'. Baginda menjawab :'Dan bukanlah jihad dijalan Allah, melainkan seorang lelaki yang keluar dengan dirinya sendiri, dan hartanya, dan tidak kembali sesuatu darinya. -[Hadith riwayat Bukhari, Abu Daud, Tirmudzi dan Ibn Majah].

Dan didalam lafaz lain :

"Tidak ada hari yang lebih agung/mulia disisi Allah, dan tidaklah paling disukai Allah swt didalamnya melainkan dari hari2 yang sepuluh, maka perbanyakkan Tasbih, Tahmi,.Tahlil dan Takbir" - [Hadith riwayat Tabrani didalam al-Kabir dengan sanad yang baik].

Sa'ed bin Jubair apabila masuk hari-hari ke-10, bersungguh dia beramal sehingga tidak kuat lagi untuk melakukannya.

Berpuasa pada hari-hari 10 ini merupakan perkara yang semulia bagi mendekatkan seorang Islam kepada Tuhannya (Tidak dikira hari yang ke 10, yang merupakan hari Eid, maka ia haram dengan pasti).

Dan hari yang paling banyak fadhilatnya adalah hari ke 9, iaitu hari Arafah, hari dimana jemaah Haji berwukuf dengan keadaan menghadapi kusut dan berabuk, dengan pakaian ihram yang menyerupai kain kafan orang mati, tunduk kepada Allah menjawab seruannya, lalu berdo'a kepadanya.

Para jemaah Haji mendekati Allah disana dengan memakai Ihram, berTalbiah dan berdo'a, dan mereka yang lain (selain dari jemaah haji) berada dirumah2 mendekati tuhannya dengan berpuasa. Nabi saw telah ditanya tentang berpuasa pada Hari Arafah, baginda bersabda :

" Menghapuskan dosa setahun yang lepas dan yang berbaki" - [Hadith Riwayat Muslim dan lain2nya dari Abi Qatadah].

Didalam riwayat lain Nabi saw bersabda :

"Puasa hari Arafah, sesunguhnya aku berharap Allah swt agar menghapuskan dosa setahun yang lepasnya dan tahun yang sebelumnya" - [Hadith riwayat Tirmudzi].

Akan tetapi, apakah ini termasuk mereka yang berwukuf di Arafah juga ? 

Jumhur ulama mengatakan bahawa adalah mustahab (larangan) berpuasa bagi mereka yang bukan jemaah Haji.

Dari Abu Hurairah ra. bahawa Nabi saw melarang berpuasa hari Arafah bagi mereka yang berada di Arafah (Riwayat Ahmad dan Ibn Maajah). Dan dari Umm Fadhil (isteri al-Abbas),

"Bahawa mereka ragu akan puasa Nabi saw pada hari Arafah, maka dikirim kepada baginda susu lalu [baginda] meminumnya, dan beliau sedang berkhutbah di Arafah" - [Hadith riwayat Muttafaq 'alaih].

Maka ia menunjukkan tidak disukai (tidak digalakkan) berpuasa bagi mereka yang berwukuf disaat yang agung ini, dan hikmah tidak berpuasa kerana kemungkinan akan melemahkan mereka dari melakukan zikir dan do'a, dan melakukan amalan-amalan haji.

Ini juga merupakan hari Eid (raya) bagi yang berwukuf dimana mereka berkumpul beramai2, sebagaimana ditunjukkan oleh hadith yang diriwayatkan oleh Umar tentang turunnya firman Allah swt :

"Hari ini telah aku sempurnakan untuk kamu semua agama kamu" dari hadith 'Uqbah bin Amir :

"Hari eid al-Fitr, hari qurban, dan hari-hari Tasyrik merupakan hari raya kita orang-orang Islam, ia merupakan hari makan dan minum" - [Hadith riwayat Ahmad, Abu Daud, Tirmudzi, al-Nasaa'i dan al-Hakim, sebagaimana didalam Shahih al-Jaami' al-Shaghir #8192].

Maka yang rajih (pendapat yang terkuat) di sana ialah bahawa Hari Arafah mempunyai kaitan dengan hari2 Eid dan Tasyrik dinisbahkan dengan jemaah Haji, ini merupakan jalan tengah diantara dua dalil.

Terjemahan dari petikan buku : Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi. Fiqh al-Shiyaam : Tafsir al-Fiqh fi Dau' al-Quran wa al-Sunnah. cet. ke 3. Beirut : Muassasah al-Risaalah, 2001. ms 140-142. Sumber WEB

 
MPMUKM 2010-2011 © 2011 | Designed by VPS Hosts, in collaboration with Call of Duty Modern Warfare 3, Jason Aldean Tour and Sister Act Tickets